Hokaloh News Updated: Yahaya Ali speaker baru DUN T'ganu - Berita Terkini
https://hokaloh.news/politik/yahaya-ali-speaker-baru-dun-tganu-berita-terkini/

Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Terengganu, Yahaya Ali hari ini dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang baharu.
Pengisytiharan pelantikan beliau diumumkan oleh Setiausaha Dewan Undangan Negeri Terengganu, Zulkifly Isa pada hari pertama Mesyuarat Pertama Penggal Pertama DUN Terengganu ke-14 di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu.
Bekas Exco dan ADUN Alor Limbat (1999-2004) itu ketika ditemui pemberita selepas pelantikan itu berkata sebagai Speaker DUN yang baharu beliau berharap persidangan DUN berjalan lancar dengan semua ADUN mengamalkan sikap profesionalisme sepanjang tempoh persidangan.
“Pertamanya kita mahu ADUN-ADUN yang dilantik mereka faham peranan mereka sebagai anggota badan legislatif di mana mereka boleh menggubal, meminda atau memansuhkan undang-undang.
Pembangkang matang
“Selain itu kita mahu lihat ADUN-ADUN yang lebih berwibawa, berpengetahuan luas dan membuat kajian yang teratur dalam setiap isu yang ingin dibangkitkan di dalam dewan serta memainkan peranan mereka dalam semak dan imbang terhadap dasar-dasar kerajaan negeri,” katanya.
Hari ini merupakan persidangan pertama Sidang DUN Terengganu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei lalu yang menyaksikan BN tewas kepada PAS apabila menang hanya 10 daripada 32 kerusi DUN.
Tiga puluh dua ADUN Terengganu terdiri daripada 22 ADUN PAS dan 10 ADUN BN mengangkat sumpah di hadapan Yahaya, hari ini.
Sementara itu ADUN Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman yang kini memegang jawatan ketua pembangkang dalam DUN berkenaan berkata BN akan memastikan setiap kepentingan rakyat diselesaikan oleh Kerajaan PAS.
“Kita juga akan jadi pembangkang yang matang di mana akan memberi keutamaan kepada pembangunan dan kebajikan rakyat Terengganu dilaksanakan,” katanya.
– Bernama
#Politik #Hari #Kerajaan #Pas #Pembangkang #Pilihan #Rakyat #Raya #Speaker
Comments
Post a Comment