22,000 tan sampah dikutip minggu pertama Aidilfitri - Berita Terkini


KUALA LUMPUR 28 Jun – Sebanyak 22,000 tan metrik sisa domestik, pukal dan kebun dikutip Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) dalam tempoh 10 hari pertama selepas Hari Raya Aidilfitri di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang.




Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd. Zain Hassan dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, jumlah kutipan sisa di tiga kawasan perkhidmatan Alam Flora itu mencatat penurunan hampir 1,700 tan metrik berbanding tahun sebelumnya.


Jelas beliau, daripada jumlah keseluruhan sampah yang dikutip, hampir 70 peratus adalah sisa makanan yang menjadi penyumbang terbesar dan selebihnya sisa pukal serta sisa kebun.


“Penurunan kutipan sisa pada tempoh tersebut mungkin disebabkan ramai warga kota masih menyambut Aidilfitri di kampung halaman masing-masing.


“Kami jangka jumlah kutipan sisa akan meningkat pada minggu berikutnya apabila aktiviti rumah terbuka giat berlangsung terutama pada hujung minggu,” katanya.


Tambah Mohd. Zain, tabiat pembaziran semasa menghadiri majlis rumah terbuka dapat dielakkan sekiranya masyarakat mengamalkan konsep 5R iaitu Refuse (menolak), Reduce (mengurangkan), Reuse (guna semula), Recycle (kitar semula) dan Recovery (pemulihan/diperbaharui).


“Misalnya tuan rumah dinasihat menggunakan pinggan dan mangkuk yang boleh dicuci dan diguna semula serta memastikan jumlah makanan yang disediakan kepada tetamu tidak berlebihan,” katanya.


Sehubungan itu katanya, Alam Flora akan meneruskan inisiatif mendidik masyarakat secara berterusan dan memberi jaminan memantau dari semasa ke semasa selain menjalankan pembersihan agar jumlah pengurusan sampah terus terkawal.


“Orang ramai boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Alam Flora di talian 1-800-88-7472 yang beroperasi setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 8 malam untuk membuat aduan atau berkongsi maklumat mengenai tahap kebersihan di kawasan masing-masing agar tindakan sewajarnya dapat diambil,” katanya. – UTUSAN ONLINE




قالب وردپرس

Comments