PNB umum agihan pendapatan ASD, ASN Ekuiti 2 - Berita Terkini
Permodalan Nasional Bhd (PNB) hari ini mengumumkan agihan pendapatan 6.25 sen seunit bagi Amanah Saham Didik (ASD) dan 3.10 sen seunit bagi ASN Ekuiti 2 untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2018.
Dalam satu kenyataan hari ini, PNB berkata ia akan membuat pembayaran sebanyak RM360.7 juta kepada lebih 290,000 pemegang unit ASD yang memegang 5.84 bilion unit pada masa ini.
Setakat 31 Mei lepas, ASD mencatat pendapatan bersih sebanyak RM344.2 juta untuk tempoh 11 bulan pertama bagi tahun kewangan terbabit.
Sementara itu, agihan pendapatan bagi ASN Ekuiti 2 pula membabitkan pembayaran sebanyak RM46.9 juta yang akan memberi manfaat kepada lebih 29,000 pemegang unit dengan 1.51 bilion unit yang membabitkan agihan pulangan sebanyak 5.40 peratus.
Setakat 31 Mei, ASN Ekuiti 2 mencatat pendapatan bersih yang direalisasikan sebanyak RM45.58 juta bagi 11 bulan pertama tahun kewangan tersebut.
Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata PNB berpuas hati kerana mampu untuk terus menghasilkan pulangan kompetitif bagi kedua-dua dana berkenaan walaupun dalam persekitaran mencabar yang menyaksikan Bursa Malaysia susut sebanyak 5.53 peratus sejak setahun lepas.
– Bernama
Comments
Post a Comment