Terima kasih Korea - Mexico - Berita Terkini


MEXICO CITY 28 Jun – Penyokong bola sepak Mexico yang terlalu gembira berkumpul di kedutaan Korea Selatan di Mexico City hari ini bagi meraikan kejayaan mereka melayakkan diri ke peringkat kalah mati Piala Dunia bersama diplomat.




Mexico kalah 0-3 kepada Sweden dalam aksi terakhir Kumpulan F, awal pagi tadi, namun skuad El Tri berjaya meneruskan kemaraan selepas Korea Selatan mengejutkan juara dunia, Jerman 2-0 dalam satu lagi perlawanan.


Penyokong Mexico berada dalam keresahan sepanjang 90 minit permainan selepas Sweden mendahului 3-0 dan meletakkan harapan mereka ibarat ‘telur di hujung tanduk’.


Begitupun, berita tidak diduga tiba-tiba hadir dari Kazan Arena apabila skuad Taeguk Warriors meledak dua gol dramatik pada waktu kecederaan untuk menyingkirkan Jerman dan membantu Mexico meneruskan cabaran ke peringkat 16 akhir.


Nyanyian “Kami semua Korea” oleh penyokong Mexico yang gembira kedengaran di luar kedutaan Korea Selatan, malah seorang peminat yang terlalu teruja turut memeluk Konsulat Korea Selatan, Han Byoung-jin.


Di media sosial, peminat juga berkongsi video Duta Korea Selatan, Kim Sang-il meraikan kemenangan dengan melompat bersama sekumpulan penyokong yang menyanyi “Saudara Korea kami, kamu sekarang adalah orang Mexico”.


Kedutaan Korea Selatan juga dibanjiri panggilan telefon yang mengucapkan terima kasih kepada mereka, termasuk daripada Setiausaha Luar Mexico, lapor agensi berita Korea, Yonhap.


Menteri Kewangan Mexico, Jose Antonio Gonzalez Anaya turut menghubungi rakan sejawatannya di Seoul untuk mengucapkan terima kasih, sambil berjanji akan membelanjanya makan apabila mereka bertemu pada mesyuarat G20 akan datang. – AFP




قالب وردپرس

Comments