Penyerang Tunisia siap sedia jadi penjaga gol - Berita Terkini


SARANSK, Rusia 28 Jun – Penyerang Tunisia, Fakhreddine Ben Youssef terpaksa bersiap sedia sekiranya diperlukan menggalas tugas penjaga gol apabila pasukannya menentang Panama dalam perlawanan terakhir Kumpulan G, Piala Dunia 2018 awal pagi ini.




Tunisia terpaksa memulakan perlawanan di Mordovia Arena dengan penjaga gol ketiga, Aymen Mathlouthi selepas dua penjaga gol utamanya mengalami kecederaan.


Mereka kehilangan penjaga gol pertama, Mouez Hassen hanya 16 minit selepas perlawanan menentang England selepas dia cedera bahu akibat berlaga dengan Jesse Lingard.


Farouk Ben Mustapha mengambil alih tempat Hassen dalam perlawanan yang menyaksikan Tunisia tewas 1-2, selain turut beraksi ketika mereka kalah 2-5 menentang Belgium di Moscow.


Dia bagaimanapun mengalami kecederaan ligamen lutut dalam sesi latihan kelmarin dan memaksa Tunisia menerbangkan Moez Ben Cherifia dari kelab Esperance semalam dengan harapan pemain itu dapat disenaraikan sebagai penjaga gol simpanan dalam saingan awal pagi nanti (pukul 2 pagi Jumaat waktu Malaysia).


Begitupun badan bola sepak dunia, FIFA menolak rayuan Tunisia untuk menyenaraikan Cherifia, sekali gus memaksa Tunisia meletakkan Ben Youssef dalam keadaan bersiap sedia sandainya kecederaan menimpa Mathlouthi.


Peraturan FIFA hanya membenarkan pemain yang cedera diganti dalam tempoh 24 jam sebelum perlawanan pertama pasukan. – REUTERS




قالب وردپرس

Comments