Fasha Sandha selesa dengan Aidil Aziz - Berita Terkini
KUALA LUMPUR 28 Jun – Sikap sederhana Aidil Aziz membuatkan Fasha Sandha, 34, selesa berkawan dengan pelakon tersebut.
FOTO Fasha Sandha dan Aidil Aziz bersama anak-anaknya yang dimuat naik dalam Instagramnya hari ini.
Fasha menerusi laman sosial Instagram miliknya hari ini berkata, kesederhanaan pelakon yang pernah diundang dalam sitkom Mamu Mami Gosip terbitan produksinya, FS Creative Sdn. Bhd., membuatkan dia selesa berkawan dengan Aidil.
“Dia membuatkan saya selesa, kerana saya juga wanita sederhana yang sukakan kesederhanaan. Dialah sahabat saya, yang mampu buat kami gembira dan kami ketawa,” tulisnya.
Jelas Fasha, ramai yang suka melihat dia berkawan dengan Aidil atau Mohd. Aidil Abdul Aziz, 29, kerana pelakon Vila Ghazara itu bukan suami orang atau seorang duda.
Dalam pada itu jelas ibu kepada Putra Rayfal Ramli dan Putri Raysha Jemaima, ada juga yang tidak suka mereka berkawan kerana pengalaman hitam Aidil.
“Ya, tidak dinafikan ada juga yang tidak suka, kerana pengalaman lalu yang pernah dia lalui sebelum ini, ditambah pula dengan perbuatan manusia yang merakam video ‘curi’ kami sedang bersalaman dan menyebarkan dengan niat untuk mengaibkan orang lain… tak mengapa.
“Apa saja pendapat yang diberikan sekarang, saya terima dengan positif, kerana saya yakin, semua mahukan yang terbaik. Saya terima dengan hati yang terbuka,” akuinya.
Baginya, apa yang dilalui oleh Aidil biarlah berlalu kerana tiada siapa berhak untuk menilai masa silam orang lain.
“Siapalah kita untuk menilai orang lain. Siapa kita untuk menghukum orang lain? Allah lebih mengetahui segalanya,” katanya. – UTUSAN ONLINE
Comments
Post a Comment