Hamilton 'penentu' nasib pemandu lain - Berita Terkini


SPIELBERG: Pasaran pemandu Formula Satu (F1) ‘tergantung’ sehinggalah masa depan juara dunia, Lewis Hamilton bersama Mercedes selesai, kata ketua pasukan Red Bull, Christian Horner.


Ketika ini, kontrak pemandu menjadi topik hangat di Grand Prix (GP) Austria dengan ketua pasukan Sauber, Frederic Vasseur menafikan pemandu berbakatnya, Charles Leclerc akan menyertai Ferrari.  


Horner berkata, agak sukar untuk pasukannya membuat keputusan bagi mengekalkan Daniel Ricciardo sehinggalah Mercedes menandatangani kontrak baru bersama Hamilton.


“Semua ini berkaitan. Saya rasa keseluruhan pasaran pemandu menunggu keputusan daripada ketua pasukan Mercedes, Toto Wolff.


“Sebaik Toto menawakan kontrak baru kepada Hamilton, barulah mekanisma akan dicari mengenai masa depan Carlos Sainz. Jelas sekali segala-galanya bergantung kepada Toto,” katanya.


Sainz dipinjamkan ke Renault, tetapi masih kekal terikat kontrak bersama Red Bull dan berpeluang untuk dipanggil seumula jika Ricciardo meninggalkan pasukan selepas berakhir hujung musim ini.


Seorang lagi pemandu Red Bull, Max Verstappen pula mempunyai kontrak jangka masa panjang bersama pasukannya.


Horner berkata, masa depan Sainz akan bergantung kepada sama ada Ricciardo akan kekal di Red Bull atau sebaliknya.


“Ia bergantung sama ada kami memerlukan khidmatnya atau tidak. Keutamaan kami adalah untuk mengekalkan kedua-dua pemandu.


“Apabila segala-galanya sudah jelas, kami akan mengadakan perbincangan dengan Sainz,” katanya.


Horner bagaimanapun berkata, beliau yakin Ricciardo akan bersetuju dengan kontrak baru untuk kekal bersama Red Bull.


“Saya yakin untuk tempoh beberapa minggu lagi kami akan membuat keputusan,” katanya -AFP


 




قالب وردپرس

Comments