Hokaloh News Updated: Polis Perancis lancar operasi buru banduan - Berita Terkini
https://hokaloh.news/luar-negara/polis-perancis-lancar-operasi-buru-banduan-berita-terkini/

POLIS Perancis menjalankan operasi besar-besaran memburu samseng digeruni yang mendakwa kehidupan jenayahnya diilhamkan daripada filem Hollywood seperti ‘Scarface’, selepas melarikan diri dari penjara menaiki helikopter yang dirampas dalam operasi ala-komando, semalam.
Menurut jurucakap kesatuan penjara, Martial Delabroye dan sumber perundangan, Redoine Faid, 46, lari dari sebuah penjara berhampiran Paris dengan bantuan dua rakan, menggunakan bom asap dan penggerudi untuk membolosi bilik lawatan ketika Faid sedang bercakap dengan saudara lelakinya, yang kemudian ditahan.
Delabroye berkata, Faid bergegas melarikan diri menaiki helikopter dalam operasi yang mengambil masa hanya 10 minit.
Ia adalah kejadian kedua Faid melarikan diri. Pada 2013, dia meletupkan dinding penjara di utara Perancis dengan menggunakan dinamit.
Menurut sumber polis, kira-kira 2,900 anggota dikerah untuk memburu Faid di seluruh negara.
Helikopter itu dirampas daripada seorang tenaga pengajar yang ketakutan, mendarat kira-kira 11.15 pagi di perkarangan penjara.
Dua lelaki berpakaian serba hitam bersenjatakan raifal melepaskan bom asap sebelum memecah masuk ke dalam bilik lawatan penjara menggunakan penggerudi.
Warden yang tidak bersenjata, lari menyelamatkan diri dan menghidupkan penggera.
Menurut sumber, helikopter itu kemudian ditemui di pinggir timur laut Paris, sejauh 60 kilometer dari penjara.
Sumber polis berkata, juruterbang helikopter adalah tenaga pengajar yang sedang menunggu seorang pelajar apabila tiba-tiba diserbu dua rakan Faid. Dia dipaksa menerbangkan pesawat dan kemudian dilepaskan dalam keadaan terkejut.
Menurut polis, lelaki terbabit kemudian menggunakan kereta yang ditemui dibakar berhampiran kawasan parkir pusat beli belah.
Berita berkaitan
• Banduan lari guna helikopter
#LuarNegara #Lelaki #Negara #Pelajar #Penjara #Pesawat #Polis
Comments
Post a Comment