Mitos atau Fakta? Merungkai Kejadian Jin | Info Mistik
Oleh Dr. Jayaraj Vijaya Kumaran
Fakulti Sains Bumi,
Universiti Malaysia Kelantan
Pada tahun 2006, Malaysia dikejutkan dengan berita kewujudan bigfoot atau ‘orang mawas’ di Johor. Saya pada masa itu masih seorang pelajar pascasiswazah MSc di bawah seliaan mentor saya membuat kajian DNA dan evolusi kelawar di kepulauan Borneo. Kami meragui berita tersebut dan berbincang panjang lebar mengenainya di warung sambil menikmati pisang goreng dan kopi. Hasilnya mentor saya menulis satu artikel bertajuk “Meragui Mitos Bigfoot” dan menyerahkannya kepada saya untuk disemak sebelum dihantar kepada UTUSAN untuk penerbitan pada tarikh 11 Januari 2006 (http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm). Artikel tersebut adalah pruf artikel suratkhabar pertama yang saya semak dalam karier akademik saya. Tidak sampai setahun selepas penerbitan artikel tersebut, berita tentang kewujudan ‘orang mawas’ pula diganti dengan berita sensasi lain yang silih berganti dalam mukasurat suratkhabar Malaysia.
Selepas 12 tahun berlalu, berita sensasi terkini ialah kajian Terima Kasih Kerana Membaca 🙂 jin secara saintifik beserta alat yang boleh mengesan kehadiran jin yang dijalankan di universiti tempatan. Ramai netizen media sosial pula sudah mula membincangkan topik ini seperti pisang goreng panas yang dibualkan oleh saya di warung pada 12 tahun lalu. Oleh kerana topik ini hangat dan kajian tersebut dijalankan di universiti saya, saya mengambil peluang berkongsi pendapat tentang topik ini. Tetapi sebelum mengutarakan pendapat saya tentang topik tersebut, perlu saya perjelaskan apa itu kajian saintifik.
Apakah itu Sains dan bagaimanakah proses pertanyaan sains berlaku?
Sains adalah satu kumpulan ilmu yang menerangkan kejadian alam semesta berdasarkan fakta dan disusun mengikut bidang-bidang tertentu. Fakta-fakta ini boleh diuji dalam bentuk kajian dan hasil kajian tersebut boleh dibuktikan berulang-kali dalam eksperimen yang diulang dengan parameter yang sama oleh ahli sains yang lain. Fakta sains juga boleh digunakan untuk membuat ramalan mengenai sesuatu kejadian yang berlaku berdasarkan fakta-fakta yang sedia ada. Hasil kajian fakta tersebut termasuk teori, hipotesis dan maklumat baru memantapkan atau menggantikan apa yang sedia ada.
Proses pertanyaan sains pula berlaku apabila seorang saintis dengan sifat ingin tahunya mengenai sesuatu fenomena. Proses ini merangkumi pencarian maklumat dan pengetahuan Terima Kasih Kerana Membaca 🙂 fenomena tersebut, merangka pernyataan masalah dan objektif kajiannya dan seterusnya merekabentuk satu atau beberapa eksperimen yang boleh memberi jawapan kepada pernyataan masalah tersebut. Eksperimen tersebut semestinya menggunakan parameter yang boleh diukur dan diuji secara statistik atau penyelesaian matematik dan hasil kajian boleh diulang menggunakan parameter dan kaedah yang sama.
Hasil kajian tersebut kemudiannya dirangka dalam bentuk laporan sains berbentuk artikel berupa jurnal yang kemudiannya dihantar untuk melalui proses penerbitan di dalamjurnal tempatan atau antarabangsa. Proses seterusnya adalah editor jurnal tersebut akan menghantar artikel tersebut untuk diulas oleh beberapa penyelidik dalam bidang Terima Kasih Kerana Membaca 🙂 (lazimnya dua penilai) untuk memastikan kesahihan fakta dan penemuan dalam artikel tersebut. Editor kemudiannya menghantar ulasan kepada penulis supaya penulis boleh menerangkan atau menyangkal hujah pengulas jika ada fakta, kesimpulan atau kaedah penyelidikan yang disangkal oleh pengulas. Proses ini berulang sehingga editor bersetuju dengan kesemua hujah penulis dan menerima artikel tersebut untuk diterbitkan. Mungkin juga laporan kajian tersebut ditolak kerana kaedah eksperimen, fakta atau kesimpulan yang dibuat tidak menepati kriteria untuk diterbitkan dalam jurnal tersebut.
Harus diingati bahawa tidak semua penulisan saintifik pada masa kini tinggi kualitinya. Bahkan banyak penerbitan jurnal yang mempunyai kelemahan dari segi kesimpulan yang tidak berasaskan fakta atau memberikan spekulasi semata-mata. Maka saintis perlu bijak membezakan kesimpulan yang berasaskan fakta yang sahih atau spekulasi. Para saintis juga perlu membebaskan diri daripada perangkap membuktikan apa yang dipercayai benar, kerana ia akan menjurus kepada rekabentuk eksperimen, hasil kajian dan kesimpulan yang berat sebelah dan tidak berasas.
Berkisah pula tentang kewujudan Mawas di negeri Johor
Seperti pelbagai dongeng dan mitos atau cerita tanpa kesahihan yang wujud di kalangan masyarakat Malaysia dan dunia, ada juga pakar syok sendiri atau dalam terjemahan Bahasa Inggeris “Self proclaimed experts” yang akan cuba menerangkan fenomena-fenomena ini. Bagi cerita manusia mawas ini datanglah seorang pakar cryptozoology bernama Vincent Chow yang percaya dengan kehadiran manusia mawas dan memberi pelbagai bukti seperti acuan tapak kaki yang datang kononnya dibuat daripada kesan tapak kaki bigfoot di Kampung Mawai. Jika benar Mawas ada di Malaysia, maka secara saintifiknya, DNA boleh diperolehi daripada acuan tapak kaki, sarang, najis atau makanan yang ditinggalkan oleh haiwan tersebut. Dan jika DNA tersebut dapat diperolehi, ia juga dapat menunjukkan hubungan genetik mawas dengan primat lain yang wujud di dunia ini. Namun bergitu sehingga kini, tiada hasil kajian yang pernah diterbitkan untuk membuktikan kewujudan mawas di Malaysia atau dimana-mana pelusuk dunia. Haiwan yang telah pupus seperti Tyrannosaurus rex dan Wolly Mammoth pun telah dibuktikan kesahihannya melalui kajian DNA atau protein dan sudah ada kajian DNA dari species manusia yang telah pupus di muka bumi namum masih belum ada sebarang penyelidikan cryptozoologist-cryptozoologist ini yang diterbitkan dalam jurnal yang berwasit. Maka seperti ‘urban legends’ lain yang berlegar-legar dalam masyarakat kita seperti mitos penggunaan telefon bimbit di stesen minyak boleh mendatangkan kebakaran, cerita Mawas cumalah satu cerita yang tiada atau belum ada kesahihannya.
Para saintis juga tidak terkecuali daripada menerima fakta-fakta yang tidak sahih. Sebagai contoh, pada tahun lalu saya menghadiri satu ekspedisi saintifik bersama pelajar saya anjuran sebuah badan bukan kerajaan tempatan. Kajian kami tentang kepelbagaian mamalia kecil memerlukan kami memasang perangkap tikus. Sepanjang ekspedisi tersebut adalah seorang Profesor Madya botani daripada universiti penyelidikan yang menegur pemasangan perangkap kami yang diletakkan di tepi denai. Hujah beliau bahawa tikus tidak akan masuk dalam perangkap kerana bau kaki manusia yang lalu di kawasan denai tersebut. Pelajar datang bertanya saya tentang ‘fakta’ tersebut. Lantas saya membalas pelajar saya dengan 3 hujah sahaja 1) adakah terdapat jurnal yang sudah diterbitkan menyokong hujah profesor madya tersebut? 2) adakah jari yang memegang perangkap tikus tiada bau, dan 3) selama 10 tahun saya memasang perangkap menggunakan pelbagai cara termasuk jauh dari denai dan kesimpulan am yang saya boleh berikan ialah ia tidak mempengaruhi hasil tangkapan mamalia kecil. Pelbagai lagi prosedur atau ritual dalam makmal yang seringkali diturunkan dari seorang penyelidik kepada penyelidik lain yang tiada kesahihannya, lebih kepada kepercayaan semata-mata.
Adakah kajian mengenai jin sahih dari aspek sains?
Persoalan diatas cuma boleh dijawab dengan adanya kajian mendalam mengenai topik tersebut. Setelah membuat satu kajian perpustakaan di Google Scholar, kajian tentang jin dan saka memang jarang dan boleh dikatakan sebagai bidang yang belum diterokai sepenuhnya. Namun bergitu, perlu diingatkan untuk menerokai bidang ini pentingnya mensahihkan kewujudan jin atau saka dahulu. Ulasan menggunakan agama tidak boleh diterima pakai kerana sains perlukan bukti kukuh dalam bentuk gambar, video atau apa-apa bukti bukti dalam bentuk lain yang boleh menunjukkan kewujudan saka dan jin. Jika tiada bukti kukuh tersebut, maka semua hasil kajian dalam bentuk alat atau ukuran tidak sahih dari kaca mata saintis.
Saya ada juga membaca artikel jurnal bertajuk ‘Kajian Saka Dari Perspektif Sains Berdasarkan Warna Aura’ yang ditulis oleh kumpulan penyelidik berkenaan diterbitkan dalam jurnal bertajuk JurnalMelayu. Hasil pembacaan saya mendapati rekabentuk eksperimen mereka ada kekurangan, pencerapan data yang tidak disokong oleh statistik dan juga kesimpulan yang dibuat tidak disokong oleh data yang kukuh. Teknologi elektromagnetik yang digunakan tidak disokong oleh data atau kajian yang menunjukkan kewujudan saka dan jin. Apabila merujuk kepada senarai literatur di penghujung artikel, didapati buku yang dirujuk adalah buku yang tidak ada kesahihan dari aspek sains [1) “Aura Imaging. What is Aura?”. http://www.auraphoto.com/fundamentals/whatis. shtml (Capaian pada 29 Mac 2016). 2) Lindgren, C. E. dan Jennifer Baltz, 1997. Aura Awareness. California: Progen Co. 3) Lindgren, C. E., 2000. Capturing the Aura. Integrating Science, Technology, and Metaphysics. California: Blue Dolphin Publishing, hlm. 158, 166].
Walaupun diuji pada responden yang dikatakan telah dirasuk saka atau jin, namun tiada profil psikologi yang dibuat keatas responden yang dipilih untuk memastikan responden adalah sihat mentalnya dan juga tiada keadaan psikologi yang membatalkan kelayakan mereka sebagai responden seperti skizopernia atau kecelaruan personaliti berganda (Dissociative identity disorder atau multiple personality disorder). Jika warna digunakan sebagai pengukur kepada keadaan dirasuk saka atau jin maka warna tersebut perlu diukur dalam julat spektrum tersebut untuk diterjemahkan kepada nombor yang boleh diuji secara statistik. Jumlah responden pula dari segi statistik tidak cukup, kerana bagi membolehkan data yang dicerap diuji secara statistik paling kurang memerlukan 3 individu bagi mereka yang normal dan 3 lagi bagi mereka yang dijangkiti saka atau jin. Penyelidik juga perlu memastikan tiada type 1 error atau type 11 error berlaku dalam analisis mereka.
Maka untuk membuktikan kewujudan saka dan jin bukanlah sesuatu perkara yang mudah kerana ia memerlukan pembuktian yang berperingkat dan alat yang sehingga kini masih belum wujud atau dicipta.
Apa yang boleh kita belajar daripada insiden ini?
Pertama, rakyat perlu menyedari kebanyakan surat khabar di negara kita sebenarnya berperangai seperti tabloid dan lebih mengutamakan cerita sensasi daripada berita yang sahih dan benar. Maka rakyat perlu bijak menilai berita atau maklumat yang diperolehi kerana pada zaman sekarang ‘any Tom Dick and Harry can write a book’.
Kedua, walaupun kadar buta huruf di negara kita kian menurun, namun begitu, penguasaan sains di kalangan masyarakat umum turut menurun. Negara kita kini mengalami krisis kekurangan graduan dalam bidang sains dan teknologi dan pelajar yang mengambil jurusan sains juga kian menurun. Maka apa yang diperlukan adalah langkah yang memperkasakan sains dan matematik di peringkat sekolah supaya minat kepada sains dan matematik bertambah di kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah.
Ketiga, perlunya Kementerian Pendidikan Malaysia kembali memperkasakan pengajian tinggi negara kita supaya penyelidikan dalam bidang sains berkualiti sahaja yang diluluskan peruntukannya. Hapuskan budaya kroni dan pseudoscience yang sudah lama menyelubungi dan kian menular dalam universiti tempatan. Peruntukan untuk penyelidikan dan juga untuk universiti perlu ditambah supaya tiada kepincangan dalam penyampaian ilmu di menara gading.
Keempat, menambahkan biasiswa bagi penyelidikan sains dan teknologi di peringkat pascasiswazah kerana inilah nadi bagi mewujudkan satu masyarakat yang berintelek dan boleh mara maju dengan peredaran masa. Pemansuhan biasiswa MyBrain baru-baru ini tanpa perancangan untuk menggantikan biasiswa tersebut adalah langkah ke belakang dalam memperkasakan sains dan teknologi dalam negara kita.
Kelima, kita perlu mengetengahkan saintis muda dan senior yang bagus sebagai pakar rujuk kepada masyarakat. Perkasakanlah Profesor dan saintis sebagai jurucakap kepada pelbagai bidang sains dan teknologi di pelbagai media massa yang ada. Dengan ini berpeluanglah rakyat negara kita mengenali, menilai dan menyokong agenda sains dan teknologi negara kita.
Nota : // DrRaj adalah seorang pengkaji mamalia kecil yang sudah lebih 10 tahun berkecimpung dalam bidang berkenaan dan telah menerbitkan beberapa artikel jurnal, Jurnal-jurnal ini boleh didapati di https://scholar.google.com/citations?user=baSv_eQAAAAJ&hl=en
6total visits,6visits today
#Informasi #AllInOne #Atau #Berita #Buddy #Fakta #GayaHidup #Hokaloh #HokalohNews #Informasi #Jin #Kaedah #Kewujudan #Melalui #Merungkai #Mitos #News #PocketNews #Saintifik
https://hokaloh.news/informasi/mitos-atau-fakta-merungkai-kejadian-jin-info-mistik/
Comments
Post a Comment