Dr Mahathir : Bantuan dari Malaysia kepada mangsa gempa di Lombok | Myberita


KUALA LUMPUR, 30 Julai – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia berhasrat menghulurkan bantuan kepada rakyat Indonesia yang menjadi mangsa kejadian gempa bumi di Lombok, Nusa Tenggara Barat di republik itu semalam.”Kita ingin beri sedikit pertolongan kepada rakyat Indonesia yang menjadi mangsa,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.


Dr Mahathir berkata pegawai Kedutaan Malaysia di Indonesia juga sedang berusaha memastikan keselamatan rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas.


Gempa bumi kuat berukuran 6.4 skala Richter itu dilaporkan berlaku pada 5.47 pagi.


Rakyat Malaysia, Siti Nur Ismawida Ismail, 30, terkorban dalam kejadian itu akibat ditimpa runtuhan tembok bangunan. Enam lagi warga Malaysia dilaporkan cedera dalam kejadian itu yang dilapor meragut 14 nyawa.


Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata beliau akan mendapatkan pendirian Australia berhubung isu ekstradisi bekas anggota polis Sirul Azhar Umar yang dijatuhi hukuman mati kerana disabitkan kesalahan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.


Katanya, beliau akan membincangkan perkara itu dalam pertemuan bersama Menteri Luar Australia Julie Bishop minggu ini.


“Saya akan berbincang beberapa perkara dalam pertemuan itu. Tidak secara khusus (isu Sirul Azhar) tetapi saya mahu mendapatkan pendirian Australia berhubung perkara itu,” katanya.


Pada 2009, Sirul Azhar dan rakannya Azilah Hadri dijatuhi hukuman mati setelah didapati bersalah melakukan pembunuhan itu pada 2006. Mahkamah Rayuan mengubah hukuman mereka pada 2013 namun susulan rayuan pihak pendakwaan, hukuman terhadap mereka dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan.


Bagaimanapun, Sirul Azhar melarikan diri ke Australia dan ditahan pihak imigresen negara itu.


— BERNAMA




#BeritaSemasa #AllInOne #Bantuan #Berita #Buddy #Di #Dr #Gempa #Hokaloh #HokalohNews #Hulur #IsuSemasa #Kepada #Lombok #Mahathir #Malaysia #Mangsa #News #PocketNews #Semasa

https://hokaloh.news/berita-semasa/dr-mahathir-bantuan-dari-malaysia-kepada-mangsa-gempa-di-lombok-myberita/

Comments