Hokaloh News Updated: Elak kaki judi terjun bangunan - Berita Terkini
https://hokaloh.news/luar-negara/elak-kaki-judi-terjun-bangunan-berita-terkini/

Beijing: Sebuah pemaju perumahan di timur China mengunci pintu laluan ke bumbung bangunan bagi mengelak mereka yang kerugian akibat berjudi ketika Piala Dunia atau melabur di pasaran saham membunuh diri.
Dalam rakaman video yang disiarkan portal PearVideo pada 23 Jun lalu menunjukkan pemaju di Weifang di wilayah Shandong mengunci pintu laluan ke bumbung di semua bangunan mereka dengan rantai besi.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pemaju itu, langkah itu dibuat susulan kejatuhan pasaran saham dan keputusan mengejutkan perlawanan Piala Dunia di Russia yang menyaksikan beberapa pasukan pilihan tersungkur awal.
Kata kenyataan itu lagi, laluan ke bumbung itu akan ditutup sehingga pasaran saham pulih semula dan sehingga kejohanan Piala Dunia berakhir.
Prestasi pasaran saham di China adalah terburuk di dunia untuk suku kedua 2018 berbanding di Hong Kong yang mencatatkan mata tertinggi dalam tempoh dua tahun.

GAMBAR menunjukkan bangunan apartmen di China. – Agensi
“Tindakan pihak pengurusan ini baik kerana mereka memikirkan segala kemungkinan,” kata seorang penduduk di sebuah apartmen.
Ayat seperti “jumpa anda di bumbung” menjadi tular di China dengan gambar menunjukkan orang melihat ke bawah dari bangunan tinggi seolah-olah mahu terjun selepas pasukan disokong mereka kalah di Piala Dunia.
Menurut Loteri Sukan China, ketika kempen Piala Dunia baru separuh berlangsung, penjualan tiket loteri bola sepak di China sudah hampir mencecah 20 bilion yuan (RM12.21 bilion), hampir dua kali ganda daripada jumlah pertaruhan keseluruhan kejohanan terdahulu pada 2014.
#LuarNegara #Bola #China #Dunia #Jumlah #Langkah #Pasaran #Pilihan #Rakaman #Saham #Video
Comments
Post a Comment