Dia keluarkan kemaluan - detik cemas pemandu Grab - Berita Terkini


KUALA LUMPUR 28 Jun – Mungkin mana-mana pemandu perkhidmatan e-hailing kini berada dalam keadaan keluh-kesah susulan pembunuhan kejam pemandu Grab, Aiman Nosri yang ditemukan meninggal dunia di dalam keretanya Ahad lalu.




Tidak kurang juga pemandu perkhidmatan e-hailing yang sedang mencari rezeki, namun terpaksa berhadapan dengan pengalaman atau detik cemas yang tidak boleh dilupakan.


Mengikuti perkongsian pemandu Grab, Mohamad Shahrin Shaari, 30, dia terpaksa berhadapan dengan salah seorang penumpang warga asing yang dibawanya menunjukkan kemaluan di hadapannya dalam keadaan mabuk sambil mengacukan botol arak yang telah pecah.


Shahrin berkata, pengalaman itu berlaku kira-kira pukul 11 malam ketika dalam perjalanan dari Shamelin ke Taman Putra, Ampang.


“Di lokasi pertama, saya mengambil seorang warga asing wanita kemudiannya menuju ke lokasi kedua untuk mengambil dua lagi rakannya yang merupakan lelaki warga asing.


“Salah seorang daripada mereka berada dalam keadaan mabuk, dan mungkin kerana marah dengan tindakan saya yang lambat membuka pintu kereta, dia terus menunjukkan kemaluan di hadapan saya. Bukan itu sahaja, dia juga menumbuk dua lagi rakannya.


“Akibat cemas, saya tinggalkan mereka dan terus menghubungi Pusat Perkhidmatan Grab bagi menjamin keselamatan saya,” katanya ketika ditemui Utusan Online di sini hari ini.


Menurut Shahrin, sejak kejadian itu, dia tidak lagi menjalankan perkhidmatan tersebut melebihi pukul 10 malam.


Seorang lagi pemandu Grab, Musfaizal Mustafa, 39, turut berkongsi pengalaman hampir dipukul oleh dua orang penumpang warga asing lelaki kerana enggan membawa mereka ke lokasi yang tidak dikenalpasti.


Katanya, kedua-dua mereka yang ditemani oleh seorang warga tempatan mengugut untuk memanggil lebih ramai rakan mereka bagi ‘mengerjakan’ Musfaizal kerana enggan mengikut arahan mereka.


“Saya sepatutnya menghantar mereka ke Pandan Indah, namun mereka tidak mahu turun dan memaksa untuk memandu jauh lagi ke lokasi lain yang tidak dikenalpasti. Saya enggan mengikut arahan mereka dan diugut untuk dipukul.


“Kebetulan ketika dalam laluan yang sama, terdapat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Cheras. Akibat cemas, saya terus memandu kereta memasuki perkarangan jabatan tersebut dan meluru ke arah anggota yang bertugas.


“Namun, tindakan tidak dapat diambil kerana ketiga-tiga mereka sempat melarikan diri,” katanya.


Musfaizal turut mendedahkan antara kawasan ‘panas’ yang sering dielak oleh pemandu Grab adalah Selayang, Selayang Baru, dan Kampung Laksamana menuju ke Batang Kali.


“Operasi Perkhidmatan Grab hanya mengutamakan keselamatan penumpang berbanding pemandu. Prestasi kami akan dipantau oleh sistem Acceptance Rating (AR) dan Cancellation Rating (CR).


“Jika peratusan yang ditunjukkan berada dalam kadar yang tidak memuaskan, kami boleh dibuang tanpa sebarang penjelasan. Jadi, disebabkan itu kebanyakan kami tidak boleh menolak permintaan daripada sesetengah penumpang kerana bimbang kehilangan punca rezeki,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE




قالب وردپرس

Comments