Serbu sekolah pondok tindakan melampau - Berita Terkini


IPOH 28 Jun – Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu menyifatkan tindakan pihak berkuasa menyerbu pusat pengajian agama, Pondok Kadir Al-Jaafar, Gua Tempurung dekat sini baru-baru ini tindakan yang melampau.




Menurutnya beliau terkejut dengan kejadian tersebut dan telah mengarahkan agensi yang terlibat dalam serbuan itu untuk menyerahkan laporan penuh mengenai kejadian tersebut.


Katanya, beliau akan meneliti laporan penuh daripada pihak berkuasa yang terlibat dalam serbuan tersebut.


“Saya telah mengarahkan pihak berkuasa yang terlibat dalam serbuan itu menyerahkan laporan lengkap kerana saya perlu tahu apa yang berlaku,” katanya.


“Saya difahamkan ketika serbuan, para pelajar yang sedang mengikuti kuliah agama diperiksa dan diminta untuk menjalankan ujian air kencing, ini sesuatu yang pelik dan melampau,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Jamuan Hari Raya Lembaga Air Perak (LAP), di sini hari ini.


Menurut Ahmad Faizal, kejadian tersebut mungkin ada kaitan dengan masalah pemilikan tanah pondok tersebut.


“Namun saya tidak mahu membuat andaian dan perlu meneliti laporan penuh terlebih dahulu,” katanya.


Kejadian pondok pengajian agama tersebut diserbu oleh pihak berkuasa tular sejak kelmarin selepas gambar kejadian tersebut dimuat naik di dalam laman media sosial.


Menurut status yang dimuat naik, pondok yang mengambil anak-anak yatim itu telah beroperasi sejak tahun 2010.


Kenyataan yang tular di laman sosial juga mendakwa lebih 100 anggota daripada pelbagai agensi penguat kuasa terlibat dalam serbuan itu. – UTUSAN ONLINE




قالب وردپرس

Comments