Ella Nasihat Haqiem Jangan Fikir Cakap Orang - Berita Terkini
RATU Rock Malaysia, Ella menasihati penyanyi dan komposer muda berbakat besar, Haqiem Rusli agar utamakan bakat berbanding memikirkan kritikan orang sekeliling.
Memetik mStar online, Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, 52, berkata dia percaya pelantun lagu, Tergantung Sepi itu mampu pergi jauh dalam industri seni.
“Utamakan dan sayangilah bakat yang ada. Saya tahu dia berbakat besar. Dia boleh menyanyi, suara sedap dan sangat bagus dalam mencipta sesebuah lagu.
“Jangan fikirkan apa yang orang sekeliling katanya. Kena sentiasa dan ambil yang positif. Jangan cepat mengalah disebabkan kritikan dan kecaman daripada netizen,” kata Ella.
Penyanyi wanita itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai luahan Haqiem yang ingin bersara daripada seni suara disebabkan mengalami masalah kemurungan.
Dalam perkembangan lain, Ella dikatakan bakal berkongsi pentas bersama kumpulan rock Prime Domestic menerusi konsert Metal Legend II Live In JB yang akan diadakan pada 7 dan 8 September depan.
Menurut Ella, konsert kali ini dia akan menampilkan persembahan berkonsepkan ‘Rock & Roll’ berdurasi selama satu jam setengah.
“Untuk konsert kali ini saya hanya ingin tampil dengan persembahan konsep Rock & Roll saja. Masa dapat tawaran turut serta dalam konsert ini saya dah rasa teruja sebab tawaran kali ini berbeza.
“Ia juga adalah gabungan dengan beberapa buah kumpulan rock di Malaysia di atas satu pentas yang sama,” ujarnya.
Difahamkan, selain Ella dan Prime Domestic, kumpulan Cromox dan Sil Khannaz turut serta dalam konsert yang akan diadakan di Stadium Perbandaran Pasir Gudang (PPG), Johor. – Mynewshub.tv
Comments
Post a Comment