Strategi Selangor tetap menyerang – Nazliazmi - Berita Terkini


Nazliazmi memantau sesi latihan pemainnya

KETUA jurulatih Selangor, Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir berkata pasukannya tidak akan mengambil risiko dengan menggunakan pendekatan bertahan apabila turun menentang PKNS FC pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Shah Alam, malam esok.


Ini kerana katanya, dalam usaha melayakkan diri ke final, Selangor tidak boleh berkampung di kawasan sendiri sebaliknya perlu menggempur kubu pasukan lawan bagi mencari gol.


“Selangor tak akan bertahan, sebaliknya terus memberikan tekanan kepada PKNS dan dalam masa yang sama menyerang untuk melebarkan jaringan.


“Kami mahu bermain dan mengawal bola serta mewujudkan situasi bahaya. Kadangkala cara terbaik untuk bertahan ialah dengan menyerang.


“Jadi, di samping menyerang, kita juga perlu awasi jentera serangan PKNS,” katanya.


Skuad The Red Giants hampir pasti mara ke final Piala FA selepas memastikan kemenangan bergaya 4-0 ke atas PKNS pada aksi separuh akhir pertama Sabtu lalu.


Empat gol yang bakal dibawa ke aksi timbal balik malam ini dianggap selesa buat mereka untuk layak ke final buat kali pertama sejak kali terakhir mereka ke pentas akhir pada edisi 2009.


Mengulas lanjut, Nazliami enggan terlalu selesa sebaliknya percaya pasukan lawan pasti melakukan segala-galanya terutama memperkasakan jentera serangan dalam usaha memburu jaringan bagi mengatasi defisit empat gol.


“Selangor tak akan ambil mudah, kita akan terus fokus, kurangkan kesilapan dan memanfaatkan peluang yang ada. Saya percaya semua pemain sudah bersedia untuk diturunkan.


“Apa yang penting pemain mengekalkan disiplin tinggi dan bermain sehingga wisel penamat bagi mengelak kesilapan sama berulang seperti yang dipersembahkan pada suku akhir menentang Kuala Lumpur sebelum ini,” ujarnya.


 



Komen anda




قالب وردپرس

Comments