Tajaan berganda Yakult untuk FAM - Berita Terkini
JENAMA minuman probiotik antarabangsa Yakult telah melakukan satu kejutan dalam arena bola sepak tempatan dalam usaha memenangi hati peminat bola sepak dengan mengadakan perjanjian penajaan berganda untuk pertama kalinya bersama Persatuan
Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Melalui perjanjian penajaan ini, Yakult telah diumumkan sebagai minuman probiotik rasmi Piala Malaysia 2018 dan 2019 dan juga sebagai minuman probiotik rasmi FAM (2018-2020).
Pengumuman perjanjian ini telah diadakan semasa acara MOHSKOR yang dianjurkan di Pusat Membeli Belah MyTown di Cheras, hari ini.
Pengarah Urusan Yakult (Malaysia) Sdn Bhd, Hiroshi Hamada berkata, melalui perjanjian selama 3 tahun ini yang bermula dari 2018 sehingga 2020, untuk setiap botol Yakult yang terjual, 1 sen akan disumbangkan kepada FAM, yang secara keseluruhannya berjumlah sekurang-kurangnya RM 3,900,000.
“Sealing itu, probiotik Yakult Ace dan Yakult Ace Light bernilai RM 200,000 juga akan disumbangkan kepada semua skuad bola sepak dan futsal di bawah FAM untuk setiap tahun sehingga 2020, “ujarnya.
Sebagai tanda penajaan kepada FAM, Yakult telah melancarkan satu iklan video yang memaparkan 5 hero terkenal bola sepak kebangsaan dari pasukan senior dan junior – penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat, pertahanan Matthew Davies, pemain tengah Akhyar Rashid, pemain tengah Thanabalan Nadarajah dan penyerang Hadi Fayyadh Abdul Razak.
Video berdurasi 30 saat ini menjadi sebahagian daripada kempen pemasaran Yakult untuk tahun ini yang menyasarkan peminat bola sepak dan akan dipromosikan melalui platform sosial media dan digital. FAM sebelum ini telah mengumumkan perjanjian penajaan dengan Yakult Malaysia pada Januari yang lalu.
Komen anda
Comments
Post a Comment