Peniaga kain antara tiga ditahan samun wanita - Berita Terkini


BUKIT MERTAJAM 29 Jun – Seorang peniaga kain merupakan antara tiga individu yang ditahan polis selepas disyaki menyamun seorang wanita di sebuah stesen minyak di Kubang Semang, di sini petang semalam.




Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Abd. Hamid berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang semalam, mangsa seorang pekerja restoran terkejut apabila seorang lelaki bertindak membuka pintu keretanya dan merampas beg miliknya sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Perodua Axia.


Katanya, polis menahan suspek pada pukul 11.30 pagi tadi di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil, Kedah dan hasil soal siasat, lelaki berusia 30 tahun itu mengaku terlibat dalam kes berkenaan.


Nik Ros Azhan memberitahu, polis kemudian membuat dua lagi tangkapan membabitkan seorang operator kilang dan seorang wanita berusia 27 tahun di Penaga pada pukul 1.30 petang tadi.


“Mereka disyaki satu kumpulan yang aktif melakukan beberapa kes samun tanpa senjata kerana polis turut merampas pelbagai alatan termasuk tukul selain beberapa nombor plat kenderaan daripada dua tangkapan di Penaga,” katanya, di sini hari ini.


Nik Ros Azhan memberitahu,hasil soal siasat yang dijalankan, kedua-duanya mengaku terlibat menyamun wanita berkenaan.


Beliau memberitahu, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE




قالب وردپرس

Comments